Yang sama-sama ingin belajar

Tuesday, June 29, 2010

Belajar sendiri di internet!

Salam semua,

Hari ini saya nak berkongsi sumber-sumber pelajaran saya di internet ini. Saya bermula dengan pelajaran2 percuma yang banyak terdapat di Youtube.

Dan daripada youtube, saya jumpa satu site yang banyak mengajar tentang tatabahasa Korea. Pada sesiapa yang berminat, bolehlah mengunjungi BusyAtom.com. Bagi saya ianya site yang bagus untuk belajar daripada awal mengenal huruf sehingga ke tatabahasa asas. Ada video dan juga pdf yang jelas.

Selain itu saya juga memuat turun podcast dan mendengarnya bila-bila saya ada masa terluang. Antara podcast2 yang saya dengari adalah Kimchigirls, SurvivalPhrases.com, dan KoreanClass101.

Untuk KoreanClass101, perlu bayar untuk melanggani podcast dan peralatan2 pembelajaran mereka yang banyak, namun ada juga podcast2 mereka yang percuma, jadi saya muat turun yang percuma sajalah :p

Selain daripada semua ini, saya juga menonton drama Korea untuk berlatih memahami percakapan. Sambil layan, sambil belajar kan. Takdelah rasa buang masa sejam untuk layan drama Korea yang panjang tu tanpa hasil apa2.

Namun begitu harus kita ingat yang ini semua adalah pembelajaran pasif iaitu masuk ke dalam. Untuk memahirkan diri kita juga perlu belajar secara aktif iaitu berlatih apa yang telah dipelajari. Bak kata pepatah omputeh, "practice makes perfect"!

Ok, selamat berlatih!

perkataan hari ini :

Berlatih : 연습하다 (yon-sep ha-da)

Sunday, June 27, 2010

Ayat kata kerja

Salam semua,

Hari ini saya nak berkongsi tentang ayat yang mengandungi kata kerja. Seperti biasa kata kerja ada dua jenis, transitif dan intransitif. Hari ini saya tunjukkan yang transitif dahulu ya.

Kalau ingat pada entri Struktur Asas Bahasa Korea dulu, saya dah terangkan tentang struktur asas dengan ayat contoh. Mari kita lihat semula.

1. Saya makan nasi.
저는밥을먹어요.
cho-nen pab-el mog-o-yo.

저(cho) : saya
밥 (pab) : makanan/nasi
먹어요(먹다) (mogda): makan

Struktur ayatnya terbalik daripada bahasa kita iaitu subjek+objek+kata kerja, dan sama seperti ayat fakta penyata, kita dapat lihat yang ayat kerja ini juga mempunyai partikel di dalamnya.

Partikel yang digunakan ialah partikel 을 (el) atau 를 (lel) bergantung pada huruf akhir konsonan atau vowel pada objek sebelumnya. 을 (el) untuk objek berakhir dengan konsonan, dan 를 (lel) untuk berakhir vowel.

Fungsi partikel ini adalah untuk menandakan yang perkataan tersebut merupakan objek kepada sebuah kata kerja yang datang selepasnya.

Pengakhir ayat baru diletakkan kata kerja. Dan kata kerja di dalam bahasa korea berubah-ubah bentuk mengikut waktu perlakuan dan lain2 lagi. Yang ini saya akan kongsikan pada lain entri. Buat masa ini adalah penting yang kita faham apabila ada partikel 을/를 saja, maka kita tahu yang itu adalah ayat kerja.

Mari lihat contoh lagi.

2. Dia tengok tv.
그는텔레비전을봐요.
Ku-nen tel-le-bi-jon-el poa-yo.

3. John boleh main bolasepak.
전은 죽구를 줄 함니다.
John-en chuk-ku lel chul ham-ni-da. * ayat ini telah dibetulkan pada 29/6/2010

4. Saya belajar bahasa Korea.
저는한국어를 공부해요.
Cho-nen han-guk-o lel kung-bu hae-yo.


Ok selamat berlatih!



Perkataan hari ini :

1. televisyen : 텔레비전 (tel-le-bi-jon)
2. bolasepak : 죽구 (chuk-ku)
3. buat/lakukan : 하다 (하세요) (ha-da)
4. lihat/tengok : 보다 (po-da)
5. bahasa Korea : 한국어 (han-guk-o)
6. belajar : 궁부하다 (kung-bu ha-da)





Friday, June 25, 2010

Partikel : Ayat-ayat contoh

Salam semua,

Hari ini kita sambung bab partikel lagi dan lagi dan lagi. Biar sampai partikel ni jadi kebiasaan pada kita.

Ok secara rumusannya saya akan beri beberapa contoh ayat agar kita dapat biasakan dengan peraturan partikel ini.

1. Saya orang Malaysia.
저는 말레이시아 사람이에요.
Cho-nen Malaysia sa-ram i-e-yo.

2. Dia orang Korea.
그는 한국 사람이에요.
Ku-nen Han-guk sa-ram i-e-yo.

3. John adalah orang yang baik.
전은좋은사람이애요.
John-en cho-un sa-ram i-e-yo.

4. Perempuan itu adalah kawan (saya).
그녀는 진구 에요.
Ke-nio-nen chin-gu ye-yo.


Beginilah lebih kurang contoh2 ayat penyata yang saya boleh kongsikan kali ini. Bagi saya untuk tulis ayat-ayat di atas ini pun makan masa juga. Namun kita perlu berlatih untuk menjadi mahir kan?

Selamat berlatih!

Perkataan hari ini :

1. Malaysia : 말레이시아 (mal-le-i-si-a)

2. Dia (lelaki) : 그 (ke) *kare

3. Dia (perempuan) : 그녀(ke-nio) *kanojo

4. Korea : 한국 (Han-guk) *Kankoku

5. Baik : 좋은 (cho-en) *Ii

6. Orang : 사람(sa-ram) *hito

* bahasa jepun

PS : Buat masa ini saya masih menggunakan rumi untuk perkataan2 di dalam korea, namun saya akan kurangkan penggunaan rumi secara berperingkat2 kerana ejaan di dalam rumi tidak dapat melambangkan bunyi secara tepat.

** ada pembetulan sedikit kerana silap eja. terima kasih Ira kerana beritahu :)

Thursday, June 24, 2010

Perkataan dari drama Korea.


Salam semua,

Bagi yang selalu tengok drama korea, pasti perasan beberapa patah perkataan yang selalu digunakan di dalam dialog mereka. Biasanya ini adalah perkataan-perkataan yang memang biasa digunakan seharian di dalam perbualan.

Okay hari ini saya nak kongsikan sepatah dua yang saya selalu dengar (alamak kantoi tengok drama korea). Kalau tengok drama korea mesti pernah dengar punya perkataan2 di bawah ini.


1. Mani-mogo! (많이먹고)
- Makanlah banyak-banyak! (Janganlah segan!)
+ Takusan tabete! (bahasa jepun untuk akak Maria)

2. Palli! (빨리!)
- Cepat!
+ Hayaku!

3. Shiro! (싫어!)
- Taknak!
+ Iyada!

Semua di atas adalah di dalam bahasa tak formal dan biasanya dipakai di antara kawan-kawan saja. Kalau nak tau bahasa yang formal macam mana, hujungnya ada 'yo' (요) atau 'da'(다).

Setakat ni je yang saya terfikir. Nanti kalau ada saya kongsikan lagi ya.
Okay, selamat tengok drama Korea!



Wednesday, June 23, 2010

Rileks seketika

Salam semua,

Nampaknya saya dah miss satu hari untuk post di sini, mungkin sebab saya sendiri stressed tengok kuliah saya yang sebelum2 ini. Oleh itu hari ini saya mahu rileks!!! dari pembelajaran buat seketika dan ingin berkongsi perkara lain.

Kenapa saya belajar Bahasa Korea? Dah tak ada bahasa lain ke nak belajar? Sebab suka drama korea ke? Kenapa?

Ha, entahlah, saya pun taktau sebenarnya kenapa. Saya suka belajar bahasa kot. Bukan korea saja, ada lagi bahasa-bahasa lain yang saya ingin pelajari. Tapi buat masa ini saya nak fokus pada yang ini saja.

Saya dah mula belajar dah lama sebenarnya. Sejak dari 2 ke 3 tahun lepas. Namun masa tu lebih kepada melepaskan batuk di tangga je. Apa yang saya belajar masa tu ya? Ha, siap tak ingat tu, maksudnya memang tak masuk apa2 punlah dalam kepala ni.

Habis tu kenapa tiba2 sahaja pulak kali ini? Ya, saya setuju, mesti ada pencetusnya. Dan pencetusnya bukan Wondergirls ya, sebab saya dah dengar lagu Wondergirls sejak lagu So Hot lagi. Okay berbalik kepada topik, pencetusnya kalau saya fikir, adalah seorang kawan saya. Kawan baru saya.

Di ofis saya, tempat duduk sebelah saya memang sentiasa bertukar orang. Dan sejak awal tahun yang lepas, seorang lelaki telah diletakkan kat sebelah saya menggantikan mamat indonesia yang tukar ke tempat duduk lain. Ya, lelaki itu lelaki Korea (ayat ni macam gay la pulak).

Dipendekkan cerita, saya mula borak2 dengan dia dan mungkin sebab dia tak pandai sangat cakap orang putih, maka saya mula belajar cakap Korea dengan dia. Dari situlah bermulanya saya menjadi serius di dalam mendalami bahasa ini. Selain daripada saya belajar sendiri di internet ni, dia adalah son-seng-nim (선생님, cikgu) saya yang banyak mengajar saya.

Namun begitu tempoh hari dia telah menyerahkan surat berhenti kerja kerana dapat kerja di tempat lain. Maka tempoh beberapa minggu ini merupakan waktu2 terakhir saya dapat belajar dengan dia secara terus. Sedih la pulak. Harap2nya semangat saya untuk menguasai bahasa ini akan berterusan walaupun cikgu saya dah tak ada nanti.

재순선생님,정말고맙숩니다!!!!!


Monday, June 21, 2010

Tatabahasa Asas : Partikel 는 (nen) Bhg.2

Salam semua,

Hari ini saya sambung yang entri sebelum ini tentang partikel 는. Mari lihat contoh ayat no 2 yang saya beri pada entri lepas.

2. 잔은남자예요.
john-en nam-ja ye-yo.
John adalah lelaki.

Di sini partikel 는 (nen) ditulis sebagai 은 (en) saja. Ini adalah kerana perkataan sebelum partikel itu iaitu 'John' dieja dengan huruf akhirnya konsonan.

Peraturannya di sini, jika perkataan itu berakhir dengan konsonan, maka partikelnya akan jadi 은.
Jikalau perkataan itu berakhir dengan vowel, partikelnya jadi 는 .

Contohnya :

잔 + 은
John en (Konsonan n --> en 은 )

자 + 는
Cho nen (Vowel o --> nen 는 )

Sifat berubah ini sama juga dengan penutup ayat 이에요 (i-e-yo).
Jika perkataan sebelumnya berakhir dengan konsonan, maka penutupnya adalah 이에요.
Jika berakhir dengan vowel, penutupnya adalah 예요 (ye-yo).

Kita lihat contoh semalam :

저는이에요.
cho-nen hak-seng i-e-yo. (Konsonan g --> ieyo 이에요)
Saya adalah pelajar.

전은예요.
John-en nam-ja ye-yo. (Vowel  a --> yeyo 예요)
John adalah lelaki.


Perubahan partikel terhadap vowel dan konsonan ini kita akan dapat lihat lagi lepas2 ini. Janganlah pening dahulu ya. Saya mungkin tak pandai berkongsi secara santai, sebab itu nampak macam kuliah bahasa pulak.

Ok itu saja untuk hari ini, saya akan beri contoh2 ayat untuk biasakan kita dengan partikel2 ini pada entri seterusnya ya.

Selamat berlatih!


Perkataan hari ini :

여자 (yo-ja) = perempuan
친구 (chin-gu) = kawan





Sunday, June 20, 2010

Tatabahasa Asas : Partikel 는 (nen)

Salam semua,

Pada entri lepas, kita belajar struktur asas bahasa Korea. Perasan tak pada ayat tu ada macam tambahan2 selepas subjek mahupun objek. Cuba tengok kat bawah ni.

Saya adalah John
저는 전 이에요.
cho-nen John i-e-yo.

Saya = 저 (cho)
John = 전
adalah = 이에요 (i-e-yo)

Habis tu, yang 는 selepas 저(cho) tu apa? Ha, di sini kita masuk bab tatabahasa atau grammar di dalam bahasa orang putih.

Yang 는 (disebut 'nen') tu adalah partikel. Partikel adalah penanda sesuatu perkataan untuk menjadikannya subjek, objek atau topik di dalam sesebuah ayat.

Ada beberapa jenis partikel asas di dalam bahasa Korea, dan 는 ini adalah partikel penanda fakta untuk struktur ayat yang mengikut formula seperti di bawah;

fakta A + partikel 는 = fakta B + 이에요 (adalah)

Hm, dah macam matematik pulak. Okay, secara ringkasnya jika nak terangkan A adalah B maka kita perlu letak partikel 는 selepas A untuk menandakannya.

Perlu diingat yang A dan B haruslah kata nama atau frasa yang membawa maksud serupa, tak boleh kata kerja atau kata sifat secara tunggal. Yang ini asaslah kan, salah kalau kita kata 'Saya adalah makan' atau 'saya adalah cantik'. Sebetulnya adalah 'saya adalah si kuat makan' atau 'saya adalah orang cantik'.

Okay, mari kita lihat contoh2 ayat supaya lebih jelas.

1. Saya adalah pelajar.
저 는 학생 이에요.
cho-nen hak-seng i-e-yo.

2. John adalah lelaki.
전 은 남자 예요.
John-en nam-ja ye-yo.

Perasan tak pada contoh no 2 macam dah jadi lain sikit pulak partikelnya. Yang ni saya akan terangkan pada entri seterusnya ya. Buat masa ini, biar kita faham fungsi partikel yang satu ni dulu.

Okay, selamat berlatih!


Perkataan hari ini :

학생 (hak-seng) : pelajar
남자 (nam-ja) : lelaki

Saturday, June 19, 2010

Struktur Asas Bahasa Korea

Salam semua,

Hari ini saya nak berkongsi tentang struktur asas bahasa Korea. Bahasa Korea memiliki struktur bahasa yang terbalik daripada bahasa Melayu dan Inggeris. Mari lihat perbezaannya.

Contoh ayat :

저 는 전 이에요.
Cho -nen John i- e-yo.

Saya (adalah) John.
I am John.

Kalau kita lihat ayat di atas ni, struktur Bahasa Melayu dan Inggeris adalah sama, iaitu :

Subjek - kata kerja - objek
Saya adalah John
I am John

Namun begitu, Bahasa Korea terbalik susunan objek dan kata kerjanya. Kata kerjanya sentiasa berada selepas objek.

Subjek - objek - kata kerja
저 는 전 이에요.
Cho -nen John i- e-yo.
(saya) (John) (adalah)


Berikut adalah satu lagi contoh :

Saya makan nasi.
I eat rice.

저 는 밥 을 먹 어 요.
cho-nen pab-el mog-o- yo.
(saya) (nasi) (makan)


Beginilah struktur asas bahasa Korea. Janganlah beranggapan yang ianya pelik, kerana bukan bahasa Korea sahaja yang begini. Bahasa Jepun juga mempunyai struktur yang sama, dan saya pasti ada bahasa-bahasa lain yang begini juga. Kenalah kita biasakannya kan.

Ok, selamat berlatih!


Perkataan hari ini :

밥 (pab) : nasi /makanan

먹 다 (mog-ta) : makan


Friday, June 18, 2010

Ucapan Selamat

Salam,

Kali ini saya ingin berkongsi ucapan selamat yang menjadi asas komunikasi.
Di dalam bahasa Korea, ada satu ucapan selamat yang sesuai digunakan pada bila-bila masa.

안녕하세요 : Hello

안 녕 하 세 요
an - nyong - ha - se - yo

*Kalau ㅇ berada di hadapan sukukata, ianya tidak dibunyikan.
Kalau ianya di belakang, bunyinya '~ng'

* tiang ㅔ tu bunyinya 'e' seperti mana kita menyebut 'sepak'.


안녕 (an-nyong) bermaksud keadaan yang bagus (well di dalam Bahasa Inggeris)

manakala 하세요 (haseyo) pula bermaksud 'sila jadi' atau to be di dalam bahasa Inggeris.

Ucapan ini adalah ucapan sopan dan sesuai digunakan apabila pertemuan antara dua pihak. Kiranya macam beri salamlah.

Selamat berlatih!


Perkataan hari ini :

저 (cho) : Saya (bahasa sopan)
나 (na) : Saya (bahasa biasa)




Wednesday, June 16, 2010

Sukukata Hangul


Salam semua,


Hari ini saya akan berkongsi cara-cara mengeja dan membuat suku-sukukata di dalam bahasa Korea.

Sukukata2 di dalam bahasa Korea terdiri daripada 2, 3 atau 4 gabungan2 huruf2 Hangul. Setiapnya disusun bersebelahan, bertindih, ataupun bersebelah dan bertindih.

Ada peraturan untuk susunan2 ini, namun saya sendiri tidak belajar sampai sebegitu terperinci. Mungkin sebab fokus pembelajaran saya adalah lebih kepada untuk membaca tulisan Hangul dan bukan untuk menulisnya.

Ok di bawah ini saya tunjukkan contoh gabungan2 huruf Hangul yang boleh dibuat untuk membentuk sukukata.

Contoh : Hangul

1. ㅎ (h) + ㅏ(a) = ( Ha) *bersebelahan

2. ㄱ (g) + ㅡ (e) = 그 ( Ge ) *bertindih

3. ㅎ (h) + ㅏ(a) + ㄴ (n) = (Han) *bersebelahan dan bertindih

4. ㄱ (g) + ㅡ (e) + ㄹ(r/l) = (Gel) *bertindih


Daripada di atas, kita boleh dapat perkataan 한글 iaitu Hangul.

Mengapa ejaannya 'hangel' tapi disebut hangul? Sebenarnya bunyi itu adalah lebih kepada 'eu' daripada 'e' namun untuk memudahkan lidah kita yang baru belajar saya menggunakan 'e' saja.

Di sini saya ingin mengingatkan, di dalam bahasa Korea juga ujud konsep ejaan baku sepertimana yang terdapat di dalam bahasa kita. Kita mengeja 'kita' namun menyebutnya sebagai 'kite'. Begitu juga dengan bahasa Korea dan saya pasti bahasa2 lain juga. Kebiasaan ini hanya boleh dipelajari dengan pengalaman mendengar dan bertutur di dalam bahasa itu sendiri. Oleh itu, janganlah risau ya.

Itu saja buat entri kali ini. Selamat berlatih!


Perkataan hari ini :

한글 : Hangeul ; tulisan Korea.


Huruf Hangul

Salam semua,

Berikut adalah tulisan Hangul yang saya telah pelajari. Bunyi bagi sesetengah konsonan dan vowelnya sedikit berbeza dan kita perlu fahami cara membunyikannya dan juga membezakan apabila mendengarnya agar pelajaran kita lebih mudah kelak.


Imej dari sini.

Rasa-rasanya kalau tengok jadual kat atas ni pun dah faham lebih kurang bagaimana nak sebut kan. Tapi saya akan cuba jelaskan yang tertentu saja yang saya rasa sedikit mengelirukan mengikut sebutan lidah kita ni.

Konsonan

1. : Bunyi G atau K. Kedua2 bunyi ini hampir2 tidak dapat dibezakan oleh orang Korea. Untuk lidah kita, lebih selamat kita pakai G untuk membezakannya dengan ㅋ yang membawa bunyi K.

2. : Bunyi D atau T. Lidah kita sila pakai D untuk bezakan dengan ㅌ yang berbunyi T.

3. : Bunyi R atau L. Sama macam lidah jepun, mereka tak boleh bezakan yang dua ni. Untuk lidah kita, bebas pakai keduanya, sebab tak ada huruf lain yang bunyi dekat2 dengan ini.

4. : Bunyi B atau P, untuk permulaan boleh pakai B sebab P ada huruf lain juga iaitu ㅍ .

5. : Tiada bunyi kalau di hadapan suku kata. Kalau di belakang, bunyinya ~ng. Yang ni tak payah terangkan, sebab kita pun pakai ~ng juga di dalam BM. Samalah.


Okay, jadi apakah bezanya (G,K) dengan (K), dengan pasangan yang lain2 yang serupa macam ni?

Saya pun tak pasti sangat sebab baru belajar, tapi nanti kita akan dapat tangkap bezanya setelah kita belajar untuk membentuk suku2kata daripada huruf2 ini.


Vowel

1. ㅏ : Dibunyikan sebagai A seperti di dalam bunyi 'kapal'.

2. ㅓ : Dibunyikan dengan O seperti kita sebut 'roBOT'. Yang '~bot' tu je, sebab lidah kita boleh sebut 'ro~' tu dengan dua jenis bunyi.

3. ㅗ : Dibunyikan dengan O yang memuncung, seperti masa kita sebut 'Bot' yang atas air tu.

4. ㅜ : Dibunyikan dengan U seperti kita sebut 'kutu'.

5. ㅡ : Dibunyikan dengan E seperti menyebut 'tegak' atau 'lega'.

6. ㅣ : Dibunyikan dengan I seperti menyebut 'lidi'.

Yang lain2 yang ada dua palang kat tengah2 tu secara asasnya ditambahkan 'Y' saja di dalam sebutannya menjadi (Ya), (Yo/yaw* ), (Yo/yo!*), (Yu)

* dibunyikan di dalam bahasa Inggeris untuk kemudahan.


Oklah setakat ini sahaja untuk kali ini. Kalau boleh hafal dan berlatih menulis huruf2 hangul ni lebih baik lagi. Walaupun nampak remeh dan leceh, namun pada saya, tulisan adalah asas yang sangat penting kepada pembelajaran bahasa.

Selamat berlatih!

Tuesday, June 15, 2010

Asas Mempelajari Bahasa Korea

Salam semua,


Pada awalnya saya bermula belajar bahasa Korea dengan belajar frasa2 asas seperti ucapan selamat dan lain2, namun kemudian saya dapati yang saya mudah keliru dengan sebutan2 di dalam lidah Korea ini.

Maka saya telah membuat sedikit kajian di internet dan saya dapati bahawa untuk mengatasi perkara ini, saya perlu kembali kepada asas sesebuah bahasa iaitu tulisannya.

Bahasa Korea mempunyai sistem tulisan yang tersendiri yang dipanggil "Hangul" (dibaca hanggul). Tulisan ini terbahagi kepada 2 bahagian, konsonan dan vowel. Gabungan konsonan dan vowel ini yang akan menghasilkan sukukata2 yang akan membentuk bahasa Korea itu sendiri.

Di sini, apa yang menjadikan saya keliru adalah kerana perbezaan bunyi pada vowel di dalam tulisan Hangul berbanding Romawi yang kita gunakan sekarang ini. Oleh sebab itu, untuk memudahkan kita mempelajari Bahasa Korea ini, adalah lebih baik kita mempelajari tulisannya terlebih dahulu.

Saya akan kongsikan tentang tulisan Hangul di entri yang akan datang.

Jumpa lagi!





Belajar Bahasa Korea

Salam Semua,

Saya Nadd, dan saya baru sahaja mula belajar Bahasa Korea.

Blog ini saya mulakan kerana ingin sama-sama berkongsi bersama pengalaman saya belajar bahasa korea ini.

Semoga blog ini dapat memberi manfaat kepada semua khususnya yang berminat dengan Bahasa Korea.

Sila beri tunjuk ajar!

Terima kasih.

Nadd