Yang sama-sama ingin belajar

Saturday, August 20, 2011

B. Korea : Kala Berterusan (Progressive tense)

credit : YG Entertainment


Salam semua,
여러분 안녕하세요!

Kita kembali kepada pelajaran bahasa korea untuk hari ini.
Jika minggu lepas kita telah pun belajar kala berterusan di dalam bahasa jepun, pada minggu ini mari kita lihat bentuk kala berterusan atau nama orang putihnya 'present progressive tense' di dalam bahasa korea pula.

Ok, bagi yang tak berapa jelas apakah bendanya kala berterusan ini, maksudnya secara ringkas adalah bentuk kata kerja apabila menerangkan keadaan perbuatan yang sedang dilakukan/sedang berlaku.

Baiklah mari kita lihat dialog ringkas di bawah ini.

B.Melayu 

Hashim : Selamat pagi, Minzy.
Minzy : Selamat pagi, Hashim.
Hashim : Apa yang sedang awak lakukan? 
Minzy : Saya sedang berlatih menari. 
Hashim : Wah! Bagusnya! Teruskan usaha!
Minzy : Terima kasih!

B.Korea (한국어)

하심: 안녕하세요, 민지씨.
          (annyeong-haseyo, Minzy-ssi)
민지: 안녕하세요, 하심씨.
          (annyeong-haseyo, Hashim-ssi)
하심: 무엇을 하고있어요?
          (muots-eul hago issoyo?)
민지: 제가 댄스연습을 하고있어요.
         (che-ga dan-seu yon-seup-eul hago-issoyo.)
하심: 와우! 정말 좋아요! 민지씨 화이팅!
          (wau! cheong-mal choh-a-yo! Minzy-ssi, hwa-i-ting!)
민지: 감사합니다!
          (kamsa-hamnida!)

Jika kita lihat dialog di atas, kita akan dapati perubahan bentuk kala berterusan ini adalah seperti di bawah :

kata kerja akar + 고있어요(~go-issoyo) 

Contoh-contoh :
kala kini ---> kala berterusan

1. Lakukan (하다)
   해요 ---> 하고 있어요.
   (he-yo ---> ha-go-issoyo)

2. Tidur (자다)
    자요 ---> 자고있어요.
    (jha-yo ---> jha-go issoyo)

3. Terbang (닐다)
    날아요---> 날고있어요.
   (nal-a-yo ---> nal-go issoyo)

Ok begitulah caranya untuk mengubah bentuk kata kerja biasa kepada kata kerja kala berterusan. Bahasa Melayu juga yang lebih mudah, tambah 'sedang' saja di depan kata kerja, terus boleh dapat bentuk kala berterusan ini. Baguskan?

Baiklah setakat itu saja untuk kali ini. Kita jumpa lagi di lain masa ya.
Selamat berlatih!
연습 하세요!

Bye! 안녕!

Saturday, August 06, 2011

B. Jepun : Kala Berterusan





Salam semua,

Selamat malam dan こんばんは。Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut bulan Ramadhan bagi yang beragama Islam. Moga2 ibadah kita diberkati Tuhan dan Ramadhan kali ini membawa perubahan yang lebih baik di dalam hidup kita.

Baiklah sebelum ini saya telah berkongsi tentang kala lampau, iaitu sejenis bentuk tatabahasa yang ada di dalam bahasa Jepun yang digunakan untuk menunjukkan perkara yang telah lepas. Pada hari ini pula saya ingin memperkenalkan satu lagi bentuk kala iaitu kala berterusan.

Apakah kala berterusan ini? Senang cerita, di dalam bahasa inggerisnya 'present continuous' tense. Gunanya apa pula? Gunanya sama seperti bahasa inggeris, iaitu untuk menunjukkan perlakuan yang sedang berlaku.

Baiklah mari kita lihat contoh. Di dalam bahasa Jepun, perkataan khusus untuk 'puasa' adalah 'danjiki' (だんじき:断食). Maksudnya secara terus adalah 'menahan daripada makan'. Secara tunggal, perkataan ini adalah kata nama. Namun jika ianya hendak ditukar sebagai perlakuan, kita perlu tambahkan kata kerja 'lakukan' (~します) selepasnya. Untuk lebih jelas lagi, mari kita lihat dialog di bawah.

B.Melayu.

D : Selamat pagi!
E : Selamat pagi! Awak dah makan?
D : Saya sedang berpuasa hari ini.
E : Oh ya ke, maafkan saya.
D : Tak apa.


D : おはようございます。(ohayou-gozaimasu)
E : おはようございます。もう食べましたか?(ohayou-gozaimasu. mou-tabemashitaka?)
D : 私は今日断食しています。(watashi-wa kyou danjiki-shiteimasu)
E : あ、そうですか。失礼しました。(a, soudesuka. shitsurei-shimashita)
D : いいえいいえ。(iie iie)

Jika lihat ayat di atas, ia menggunakan perkataan 'danjiki' itu dengan tambahan 'shiteimasu' di belakangnya, seterusnya memberi maksud 'sedang berpuasa'.

Secara amnya, perubahan kata kerja 'lakukan'  (~します)ini berubah mengikut kala seperti di bawah. 

kala kini (present tense) : 断食します(danjiki-shimasu) ; berpuasa
kala lampau (past tense) : 断食しました(danjiki-shimashita) ; telah berpuasa
kala berterusan (continuous tense) : 断食しています(danjiki-shiteimasu) ; sedang berpuasa

Kata kerja 'lakukan' (~します) ini digunakan secara meluas untuk kebanyakan kata kerja yang berasal daripada kata nama. 

Antara contoh-contoh lain : 

sedang berjalan-jalan : 散歩しています(sampo shiteimasu )
sedang bekerja : 仕事しています (shigoto shiteimasu)
sedang bermain bola : サッカーしています (sakka- shiteimasu)

Saya rasa cukup setakat ini dahulu untuk hari ini. Nanti tak boleh nak proses pula kalau ada banyak sangat input. Kita sambung pasal kala2 ni di lain kali okey. 

Ok, selamat berlatih dan berpuasa saya ucapkan kepada semua!

頑張ってください!
Gambattekudasai!





Saturday, July 23, 2011

Mari berlatih. Alaaa malasnya.. tengok tv dululah..



Salam semua,

Saya dapat banyak pertanyaan dari pelbagai pihak tentang bagaimana untuk cepat mahir di dalam bahasa korea/jepun.

Seperti mana kita belajar semua perkara di dalam dunia ini, untuk mahir kita perlu berlatih. Untuk mahir bersilat kita perlu berlatih. Untuk mahir menaip kita perlu berlatih. Untuk maher zain, kita perlu berlatih (selingan lawak tak kelakar). Begitu juga untuk mahir di dalam bahasa asing. Kita perlu berlatih.

Berlatih apa?

Berlatih apa yang kita nak mahirkanlah. Kalau nak mahir berbual di dalam bahasa korea, kita perlu berlatih berbual. Takkan berlatih bola keranjang pulak. Bagaimana caranya nak berlatih tu? Caranya, carilah orang yang boleh diajak berbual. Berbual itu perbuatan yang dilakukan oleh dua orang. Macam main badminton lah. Perlu ada lontaran dan sambutan. Kalau sorang-sorang, pun boleh juga, tapi bukanlah berbual namanya, tapi bercakap sorang-sorang. Hasilnya nanti pun berat sebelah juga.

Berlatih ini sebenarnya memerlukan tenaga yang banyak. Itulah sebabnya kalau setakat 'nak' pandai cakap korea, semua orang 'nak'. Saya bukan setakat nak pandai cakap korea, saya nak jadi kaya, nak duit banyak, kereta besar dan banyak lagi. Tapi kalau disuruh berusaha dengan cara berlatih? Hmm tidur lagi best. Tengok tv lagi best. Tengok drama korealah, itu pun latihan juga. Latihan mendengar. Macam-macam alasan akan keluar.

 Kenapa ya? Sebab berlatih ini perlu tenaga, tengok tv tak perlu perah tenaga. Perlu luangkan masa je. Masa banyak, tak abis punya. Tenaga terhad, bila pakai, jadi penat, takleh buat benda lain nanti. Maka tak ramai yang sanggup luangkan tenaga mereka untuk perkara2 yang mereka 'nak'. Kalau boleh rebus air tulisan dan minum terus jadi pandai. Saya pun nak kalau camtu.

Di sini kita kena sedar, hukum sains mengatakan tenaga itu abadi, ia hanya berubah bentuk. Jika kita perah tenaga untuk berlatih, contohnya berlatih bercakap bahasa korea. Penat sangat untuk sebut sepotong ayat penuh yang tak pernah kita sebut. Kenapa penat? Sebab badan kita pakai tenaga untuk menyambung synaps baru pada otak kita. Apa bende pulak synaps ni? Ala sambungan neuron2 otak tu la, ada belajar masa biologi dulu.

Ok, bila otak dah bina synaps, maka bila kita sebut lagi sepotong ayat lain dengan struktur yang serupa, maka synaps itu akan diperkuatkan lagi dan synaps baru akan dibina lagi untuk penyesuaian. Makin lama makin kuat dan stabil lah synaps kita, tu sebab makin lama kita semakin mahir. Ini adalah sains di belakang latihan. Supaya kita semua tahu yang penat itu mempunyai makna yang sangat besar. Berbaloi tak? Mesti punya..

Saya tak mahir bahasa Korea, masih peringkat belajar lagi. Saya perlukan banyak lagi latihan. Yang saya mahir adalah bahasa Jepun. Ini pun setelah latihan yang tidak terhingga banyaknya. Oh nak tahu bagaimana saya berlatih sehingga boleh mahir bahasa Jepun?  Masa zaman belajar Hiragana Katakana, saya akan tulis setiap huruf sebanyak 100x dan diulang setiap hari selama seminggu. Confirm lepas tu hafal. Untuk kanji, setiap hari saya kena hafal 10 perbendaharaan kata siap dengan tulisannya. Berapa lama? Selama setahun. Penat? Heh toksah cakap, memang penat. Berbaloikah? Walaupun sekarang ni taklah ingat semuanya, tapi berbaloiii..

Untuk perbualan, yang ini tiada latihan khusus, lebih kepada pergaulan dengan rakan-rakan. Kenapa yang ini takde latihan khusus? Sebab bila dah belajar banyak2, nanti time berbual memang secara semulajadi akan keluar perkara2 yang dipelajari tu. Tapi kalau belajar pun tanak tapi nak pandai cakap terus, dari mana pulak otak tu nak cari perkataan untuk mulut kita sebut? Tu yang mulut 'a.. a..' tapi tak keluar apa-apa tu.

Oklah agak hardcore pulak topik saya pada hari ini. Kalau tengok entri2 blog saya ringan2 saja kan. Untuk medium blog, tak boleh nak bubuh pelajaran2 dan latihan2 hardcore, sebab tak sesuai. Blog ni untuk santai-santai saja, pelajaran pun santai saja. Jadi ambil masa lama sikitlah untuk mahir. Kalau nak cepat, terpulang pada diri dan betapa kuatnya kemahuan masing2.

Ingatlah, latihan adalah asas kemahiran. (Macam slogan IKBN je bunyinya..)

Ok jumpa lagi di lain entri. Jom berlatih.

Nad