Yang sama-sama ingin belajar

Tuesday, July 27, 2010

Itu ini..

Salam semua,

Hari ini kita belajar 'itu ini' ya. Senang nak buat ayat dan nak tunjuk apa2 nanti.

Ini = 이 ( i )

Itu = 저 (jho)

Tapi biasanya 이 dan 저 ni akan dipasangkan dengan objek ketika digunakan. Contohnya seperti di bawah.

1. Apa (benda) ini?
이것은붜예요?
(i-go-seun bo-e-yo?)

Kalau selalu tengok drama korea, pasti perasan ayat di atas ni. Tapi biasanya ia lebih ringkas lagi tanpa partikel dan pengakhir -yo di hujungnya (i-go bo-ya?).

Ok maaf tersasar jap. Maksud saya, penggunaan 이 di sini akan dipasangkan dengan 거 yang bermaksud 'benda' atau 'objek'. Begitu juga dengan 저 yang akan juga dipasangkan dengan 거. Mari lihat contoh di bawah.

2. (Benda) Itu adalah kereta.
저것은차예요.
(jho-go-seun cha yeyo)

2. Ini adalah air.
이것은물입니다.
(i-go-seun mul imnida)

Ok kalau kita nak cerita pasal manusia atau perkara lain? Boleh2, gantikan saja 거 tu dengan objek lain.

3. Orang itu adalah teman wanita saya.
저사람은내여자친구입니다.
(jho saram-eun nei yojachingu imnida)

4. Rumah ini rumah dia.
이집은 그의집입니다.
(i-jhip-eun keu-i jhip imnida)

Baiklah saya rasa ini senang saja kan untuk dipelajari. Ok selamat berlatih!


perkataan hari ini :

air = 물 (mul)
rumah = 집 (jhip)
kereta = 차 (cha)

Saturday, July 24, 2010

B.Korea : Minta maaf!

Salam semua,

Hari ini kita belajar pasal ucapan maaf pula ya. Ada beberapa jenis ucapan maaf di dalam bahasa Korea bergantung kepada situasi. Mari lihat di bawah.

1. Sewaktu memohon kemaafan.
I'm sorry.
미안해요..
(mi-an-heyo..)

2. Ini pun sama macam di atas, cuma lebih sopan dan formal.
Forgive me.
죄송합니다.
(jhoi-song-hapnida) <-- kalau dengan telinga melayu, akan dengar macam chue-song-hamnida pun ada.. 

3. Yang ini pula biasanya disebut sebelum melakukan sesuatu untuk menunjukkan hormat terhadap orang lain. Contohnya sebelum nak masuk bilik guru, sebelum mencelah perbualan etc.
Excuse me.
실례합니다.
(shil-ley-hamnida)


Dan stail2 -heyo dan -hamnida di atas boleh dicampur2 mengikut kesesuaian masing2. Ok, selamat berlatih!


*pembetulan pada 31/5/2012


Thursday, July 22, 2010

Kata Kerja

Salam semua,

Sudah beberapa hari saya tidak berkongsi apa2 di sini. Saya masih mempelajari bahasa ini, namun maklumlah, belajar sendiri ni tak ada sukatan pelajaran, main sodok saja, jadi di dalam kepala saya ni sedikit bercelaru.

Oleh sebab itu, buat masa ini marilah kita berlatih apa yang sudah kita pelajari. Maka hari ini saya ingin menyenaraikan beberapa kata kerja yang sering digunakan seharian.

pergi : 가다 (kada)

datang : 오다 (oda)

lihat : 보다 (poda)

dengar : 듣다 (dedda)

cakap : 말하다 (malhada)


Jika kita lihat ada -da di belakang setiap kata kerja, ini adalah bentuk asas yang biasa disebut dictionary form. Namun jika digunakan di dalam ayat, ianya perlu disesuaikan mengikut tense yang betul seperti present tense, past tense dan sebagainya.

Kita lihat contoh2 di bawah. Contoh di bawah menggunakan present tense, stail heyo.

1. Saya pergi sekarang.
저는 지금가요.
(chonen jigem kayo)

2. Dia datang.
그는 와요.
(keunen oayo)

3. John melihat langit.
전씨는 하늘을봐요.
(John-sshi neun hanel-el poa-yo)

4. Dengar baik-baik.
잘들어요.
(chal dero-yo)

5. Saya bercakap di dalam bahasa inggeris.
나는영어로말해요.
(na-nen yong-o-ro malheyo)

Di sini kita dapat lihat perubahan2 bentuk kata kerja mengikut stail heyo. Kata kerja di dalam bahasa korea akan berubah dengan tense dan juga berubah mengikut jenis ayat (pasif aktif imperatif dsb). Memang agak kompleks. Ditambah lagi dengan stail -heyo dan -hamnida. Kalau nak belajar sekali harung, sila sediakan panadol dahulu.

Saya sendiri masih belum tamat belajar peraturan2 perubahan kata kerja ini, namun saya berikan juga sedikit contoh supaya kita dapat biasakan membuat ayat2 mudah dengan kata-kata kerja. Kalau nak tunggu saya kuasai baru kongsikan, entah bila agaknya baru boleh. Yang penting jangan patah semangat ya. Fighting!

Oklah setakat itu sahaja untuk hari ini.

Selamat berlatih!


perkataan hari ini :

langit : hanel (하늘)
baik-baik, betul-betul : chal (잘)
sekarang : jigem (지금)

*pembetulan dibuat pada 31/5/2012.

Friday, July 16, 2010

Kamus Online


Salam semua,

Tak sah belajar bahasa kalau takde kamus kan. Rasa senak je bila kita nak tau apa terjemahan di dalam bahasa tertentu tapi tiada kamus di sisi.

Oklah, untuk kamus bahasa Korea, saya menggunakan kamus atas talian saja (gedik tulis je la online). Mungkin ada banyak versi online namun yang saya gunakan ialah dari website www.naver.com.

Naver ni kira macam Google versi Korea. Dalam ini boleh cari apa saja pasal Korea, tapi semuanya dalam tulisan robot2 kenit tu la, so kena bersusah payah sikit ya.

Ok saya tunjuk kat mana yang kamusnya. Sila tengok tanda bulat di bawah yang bertulis 사전(sajon) tu. Sila klik di situ.






Kemudian kita akan sampai ke page yang seperti di bawah ini pula. Sila isikan apa2 perkataan yang anda hendak cari di dalam petak seperti di bawah. Contoh carian di bawah adalah 'dictionary'.






Lepas dah isi perkataan yang nak dicari tu, tekanlah butang hijau belah kanan dia tu. Dan akan keluar page yang seperti di bawah. Anak panah tu menunjukkan terjemahan kata yang dicari, di dalam contoh ini ialah "사전" yang bermaksud "kamus".




*anak panah tu penunjuk saja, dalam website sebenar takde, janganlah cari anak panah tu pulak ya.

Di bawahnya ada juga disertakan ayat2 contoh untuk memudahkan pemahaman. Mungkin sedikit sukar untuk menggunakan kamus ini pada mulanya, namun saya pasti ianya satu latihan membaca yang bagus untuk kita.

Oh ya, jika nak cari perkataan di dalam korea pun boleh, taip saja di dalam kotak yang sama dan makna di dalam bahasa inggeris akan keluar.

Ok selamat mencuba!


Perkataan hari ini :

kamus : 사전 (sajon)
bahasa inggeris : 영어 (yong-o)
bahasa korea : 한국어 (hanguk-o)

Tuesday, July 13, 2010

Memperkenalkan Diri

Salam semua dan 안녕하세요,

Sesudah kita belajar huruf dan beberapa struktur ayat serta contoh-contoh ayat, kini saya rasa kita sudah boleh membuat ayat-ayat mudah di dalam bahasa Korea.

Oleh itu, mari kita cuba dengan perkara yang paling asas, iaitu dengan memperkenalkan diri kita di dalam bahasa korea.


Hello!
안녕하세요!
an-nyong haseyo!

Saya John.
저는전입니다.
cho-nen John im-nida.

Saya orang Malaysia.
말레이시아사람입니다.
Malaysia sa-ram im-nida.

Gembira dapat bertemu!"
만나서반갑습니다!
man-na-so pan-gap-sum-nida!


Begitulah kiranya cara memperkenalkan diri. Oh ya! Mengapa semua ayat di atas pakai versi ham-nida dan bukan he-yo seperti yang kita belajar selama ini?!

Saja je supaya kita boleh cepat menyesuaikan diri dengan kedua-dua jenis bentuk ini. Jika diteliti, perbezaannya hanya di hujung ayat sahaja.

Baiklah, biar saya tulis juga dengan bentuk he-yo untuk perbandingan.

Saya John.
저는전이에요.
chonen John ieyo.

Saya orang Malaysia.
말레이시아사람이에요.
Malaysia saram ieyo.

Gembira bertemu awak!
만나서반가워요!
man-na-so pan-ga-wo-yo!


Ok ada perbezaan yang perlu dipelajari apabila menggunakan bentuk he-yo dan ham-nida apabila ayat yang dibuat mengandungi kata kerja seperti ayat terakhir di atas. Ini akan dibincangkan kelak ya!

Buat masa ini, selamat berlatih!


Perkataan hari ini :

jumpa : 만나다 (man-na-da)

gembira : 반갑다 (pan-gap-ta)

Saturday, July 10, 2010

He-yo dan ham-nida.

Salam semua,

Hari ini kita akan lihat dua jenis pengakhiran ayat di dalam bahasa Korea. Setakat ini saya sentiasa mengunakan pengakhiran he-yo (해요) untuk contoh2 ayat saya. Namun begitu, sebenarnya terdapat lagi satu jenis pengakhiran yang membawa maksud yang sama, iaitu ham-nida (합니다).

Mari kita lihat penggunaannya pada contoh ayat di bawah :

Saya adalah John

1. 저는전이에요. *1. menggunakan he-yo(해요)
chonen John ieyo.

2. 저는전입니다. *2. menggunakan ham-nida (합니다)
chonen John im-nida

Dia (perempuan) adalah pelajar.

1. 고녀는학생이에요.
kenyo nen hak-seng ieyo.

2. 고녀는학생입니다.
kenyo nen hak-seng imnida.

Dia (lelaki) mencintai saya.

1. 고는나를사랑해요.
kenen nalel sa-rang heyo.

2. 고는나를사랑합니다.
kenen nalel sa-rang hamnida.


Kedua-duanya membawa maksud yg sama, cuma peyampaian saja yang berlainan. Dari segi penggunaan pula, he-yo banyak digunakan untuk perbualan sopan dan ham-nida lebih luas digunakan di dalam perkara2 rasmi seperti siaran media ataupun di dalam badan kerajaan seperti tentera misalnya.

Namun begitu, tidak salah untuk menggunakannya seharian. Kedua-duanya merupakan bahasa sopan dan boleh juga digunakan secara bercampur jika mahu.

OK selamat berlatih!

Perkataan hari ini :

1. 좋아하다 (choh-a ha-da) : suka

Friday, July 09, 2010

Terima kasih!

Salam semua,

Hari ini saya ingin berkongsi ucapan asas iaitu 'terima kasih'.

Di dalam bahasa korea, terima kasih disebut sebagai :

감사합니다 (Kam-sa-ham-ni-da)


Ini adalah yang biasa dituturkan. Selain itu kita juga akan dengar

고맙습니다 (ko-map-sum-ni-da)

yang lebih sopan dan juga

고마워 (ko-ma-wo)

yang lebih kasual dan selalu dituturkan sesama rakan.


Pilihlah yang mana satu untuk digunakan mengikut dengan siapa yang kita hendak berterima kasih. Jika keliru, maka gunalah yang paling asas iaitu 감사합니다(kamsahamnida).

Sampai sini saja, selamat berlatih!

Perkataan hari ini :

1. penghargaan : 감사 (kam-sa)

Tuesday, July 06, 2010

Aku cintakan kau!

Salam semua,

Entri ringkas saja hari ini. Memandangkan pada entri yang lepas2 kita dah belajar kata ganti nama dan struktur ayat asas, maka hari ini kita berlatih buat ayat. Bermula dengan ayat yang paling klise iaitu ayat2 cinta, yeahhh!!!!

Ok mari lihat contoh di bawah.

"Aku cintakan kau."
"Na-nen no-lel sarang-heyo."
나는 니를 사랑해요.

Tapi di dalam drama kita akan dengar yang dipermudahkan (bahasa pasar) seperti di bawah:

"Nan nol sarang-he."
난널사랑해.

Ataupun lagi mudah seperti di bawah ini :

"Sarang-he."
사랑해.

Di sini semua subjek objek dan partikel digugurkan, namun sebenarnya ia tetap ada, cuma tak disebut saja. Kata bahasa pasar kan. Anda juga boleh gunakannya pada masa2 yang sesuai nanti ya ;)

Ok ini saja untuk hari ini. Selamat berlatih!

Latihan saya :

나는사라를정말사랑해요.


Perkataan hari ini :
1. cinta : 사랑 (sa-rang)
2. mencintai : 사랑해요 (sarang-heyo)

Saturday, July 03, 2010

Kata ganti nama

Salam semua,

Hari ini saya nak berkongsi tentang kata ganti nama.

Rasanya secara tak langsung saya dah pun perkenalkan beberapa kata ganti nama di dalam entri-entri sebelum ini. Kali ini saja je nak sentuh secara khas tentang topik ini.

Seperti bahasa-bahasa lain juga, bahasa Korea ada 3 jenis kata ganti nama, iaitu pertama, kedua dan ketiga. Mari lihat di bawah.

1. Kata ganti nama pertama.
Saya : Cho (저)
Aku : Na (나)

2. Kata ganti nama kedua.
Awak : Tangsin (당신)
Kau : No (너)

3. Kata ganti nama ketiga.
Dia (lelaki) : Ke (그)
Dia (wanita) : Kenyo (그녀)
Mereka (lelaki) : Ke-del (그들)
(wanita) : Kenyo-del (그녀들)


Kalau selalu menonton drama Korea, cuba perhatikan permulaan ayat, pasti akan perasan ada dialog2 yang bermula dengan 'Na' atau 'No' yang bermaksud 'aku' atau 'kau'. Kedua ini selalu digunakan sesama rakan-rakan.

Untuk 'cho' dan 'tangsin' pula, digunakan terhadap orang yang lebih tua atau yang belum kenal rapat.

Untuk kata ganti diri ke-3, adalah lebih sopan menyebut nama orang ke3 itu berbanding menggunakan 'ke' atau 'kenyo'. Kedua2 ini lebih meluas digunakan di dalam bahasa pasar.

Kenapa asik-asik ada bahasa sopan dan pasar? Ya, seperti bahasa2 lain, bahasa korea ada beberapa tahap kesopanan bahasa, tapi memadailah untuk kita mengetahui dua tahap saja. Selepas-selepas ini kita akan selalu jumpa pemisahan dua tahap bahasa in iaitu bahasa sopan dan bahasa pasar.

Ok setakat ini saja dahulu. Maaf kerana dah beberapa hari tak post, ada masalah kesihatan sikit. InsyaAllah saya cuba post lebih kerap lagi.

Selamat berlatih!

Perkataan hari ini :

Bahasa sopan : 존뎃말 (chon-den-mal)
Bahasa pasar : 반말 (pan-mal)